Latest Post


Salam sejahtera kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Disini, pihak SSKM-SSU(UK) ingin membuat satu kenyataan rasmi berhubung dengan aktiviti yang telah dijalankan oleh NGO SSPR yang telah membantu dan bekerjasama dengan pihak kami dalam merancakkan pungutan tandatangan dikalangan penduduk Negara Sabah di Pekan Kundasang, Ranau pada 7 November 2014 dan Tambunan pada 9 November 2014.

Sepanjang aktiviti mereka dijalankan di Tambunan, pihak Polis telah menghantar CID dan SB untuk memantau pergerakkan aktiviti memungut tandatangan. Gambar dan video telah dirakamkan untuk tujuan catatan rekod Polis. 

Pihak Polis juga telah mengajukan soalan-soalan kepada ahli-ahli SSPR yang dipimpin oleh En.Jalibin Paidi. Segala persoalan dijawab dengan bijak, matang dan professional tanpa sebarang masalah.

Sebaik sahaja aktiviti memungut tandatangan di Tambunan berakhir, pihak SSPR telah dimaklumkan oleh pihak Polis bahawa mereka perlu datang ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Ranau untuk memberikan keterangan pada 11 November 2014.

Pihak SSKM juga telah difahamkan bahawa IPD Keningau juga akan datang untuk mendapatkan keterangan mereka kerana aktiviti tersebut dilakukan di daerah Tambunan yang merupakan dibawah jagaan IPD Keningau.

Polis telah menyenaraikan 10 nama ahli-ahli SSPR yang perlu datang ke Balai untuk memberikan keterangan. Mereka adalah seperti berikut:

En.Ungkung J.Dusin, En.Jalibin Paidi, En.Vatius Mojitoh, En.Wilson Mahat, Cik.Feruna Jaumi, En.Azman Mohamad, En.Jacky Mait, En.Albius Jalio, En.Joseph Kolis dan Cik.Laupima Ibin.

Sesi mengambil keterangan bermula pada jam 10.45am dan berakhir pada jam 4.00pm.

Melalui maklumat yang disampaikan oleh En.Jalibin yang merupakan Presiden NGO Satu Semangat Perjuangan Rakyat (SSPR), beliau mengatakan bahawa seramai empat (4) anggota Polis telah menyoal mereka satu persatu. Antara soalan yang ditanya oleh pihak Polis ialah "Siapa Ketua? Apa Peranan? Apa tujuan pungut tandatangan? Siapa yang suruh? Apa itu SSPR dan SSKM? Apa yang terkandung dalam MA63? dan siapa semua yang terlibat?"

Selain itu juga, latar belakang semua ahli yang tersenarai dalam 10 orang telah disoal dan direkodkan. Respon daripada En.Jalibin berhubung dengan perkara ini ialah beliau berpuas hati dengan cara pihak Polis membuat siasatan kerana ia dilakukan tanpa sebarang kekerasan, professional dan sangat berbudi bahasa.

Menurut pegawai penyiasat, hasil siasatan tersebut akan dipanjangkan ke Pejabat Peguam Negara untuk diputuskan sama ada pendakwaan dilakukan ataupun tidak.

Apabila diminta perkongsian beliau tentang apakah perkara yang menarik sepanjang sesi memberi keterangan tersebut, beliau mengatakan bahawa pihak mereka gembira kerana dapat memberikan mereka kefahaman tentang Perjanjian Malaysia 1963 dan kepentingannya terhadap Bangsa Negara Sabah serta mengapa ia perlu dituntut secara demokrasi mengikut undang-undang.

Sebarang pendakwaan keatas pergerakkan dan aktiviti memungut tandatangan ini akan dibela oleh Barisan Peguam Nasionalis Borneo. 

Persoalannya, adakah aktiviti memungut tandatangan ini merupakan satu kesalahan? Tidak. Jikalau terdapat pendakwaan, ia akan dibuktikan didalam makhamah.



Harap Maklum.


Salam sejahtera, Salam Kemerdekaan Negara Sabah dan Kemerdekaan Negara Sarawak untuk kali Ke-51 Tahun. Disini, pihak SSKM-SSU(UK) ingin membuat satu kenyataan rasmi berhubung dengan aktiviti yang telah dilakukan oleh Tenaga Penggerak Sukarelawan SSKM yang bergerak dibawah NGO berdaftar yang bernama Sabah Sarawak Union (SSU)-UK dengan kerjasama NGO Tempatan di Ranau iaitu Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR) dibawah kepimpinan En.Jalibin Paidi.

Untuk pengetahuan umum, pada 25 October 2014, satu aktiviti Kerjasama NGO SSKM-SSU(UK) & SSPR telah berlangsung di Pekan Ranau yang bertujuan untuk memungut tandatangan bagi menyokong Perjuangan dalam membawa Petition SSKM kepada Perhatian United Nation (UN) agar Perjanjian Malaysia yang telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 dikaji semula statusnya.

Aktiviti tersebut berjalan dengan lancar dan maklum balas yang diperolehi daripada orang ramai sangat baik dan membina. Penerangan secara ringkas dan padat telah diberikan sebelum tandatangan dipungut. Satu perkara yang perlu diketahui ialah tiada paksaan terhadap mana-mana individu yang menurunkan tandantangan mereka pada petition tersebut.

Sebaik sahaja aktiviti tersebut selesai, pihak SSPR dibawah kepimpinan En.Jalibin telah dipanggil pihak Polis untuk membuat keterangan berhubung dengan aktiviti yang telah dijalankan. Menurut beliau, terdapat pihak yang telah membuat laporan Polis yang kononnya aktiviti tersebut telah melanggar akta perhimpunan awam.

Sebaik sahaja pihak SSPR yang diwakili oleh En.Jalibin Paidi dan En.Ady Kaloy menghadirkan diri dibalai Polis untuk memberikan kerjasama, pelbagai jenis soalan telah dihujankan kepada mereka. Namun, jawapan diberikan dengan tenang, matang dan professional.

Setelah keterangan diberikan, En.Jalibin mengatakan bahawa individu yang membuat laporan Polis terhadap aktiviti yang dianjurkan tempoh hari adalah Polis sendiri. Ini bermaksud, Polis telah membuat laporan Polis itu sendiri. Pelik tapi benar dan itulah realiti yang berlaku. Menurut beliau lagi, keterangan yang telah diambil kononnya akan dibawakan kepada Peguam Negara untuk mendapatkan tindakan lanjut.

Satu program yang sama telah diadakan di Kota Marudu yang mana SSKM-SSU(UK) telah bekerjasama dengan NGO Momogun Movement For Self Determination (MOSIK) pada 18 October 2014 dibawah kepimpinan En.Jebon Jenaun. Aktiviti tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Polis dan seorang CID telah datang menghadirkan diri untuk mengetahui info yang disampaikan dalam pertemuan tersebut. Walau apapun, ia bergerak dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, satu kejadian yang mana sepasukan Polis daripada balai Polis Pitas dan Kota Marudu telah datang ke kawasan Kanibongan di Kg.Sinukab, Pitas. Melalui maklumat yang diterima, salah satu penduduk kampung tersebut telah membuat laporan kepada seorang lantikan BN yang diberikan jawatan sebagai pemaju mukim kanibongan Pitas tentang aktiviti Pungutan Petition. Orang lantikan politik tesebut telah membuat laporan polis di daerah pitas. Tarikh dan masa kejadian tidak dapat disahkan kerana terdapat halangan komunikasi yang sedang diusahakan untuk diselesaikan.

Pihak SSKM-SSU(UK) ingin maklumkan kepada umum khususnya kepada anggota keselamatan iaitu Polis bahawa setiap pertemuan dan aktiviti yang bakal diadakah adalah mengikut garis panduan undang-undang. Tiada istilah fitnah mahupun penipuan yang disampaikan tetapi adalah lebih kepada Perkongsian Maklumat seperti Sejarah berfakta untuk Kesedaran Awam. Bak kata pepatah mengatakan "Lukai saya dengan Kebenaran tapi jangan Tenangkan saya dengan Penipuan".

Oleh itu, pihak SSKM ingin meminta agar semua Sukarelawan-sukarelawan yang merupakan Pejuang-Pejuang Kebangsaan Negara Sabah dan Pejuang Kebangsaan Negara Sarawak untuk memaklumkan kepada pihak SSKM-SSU(UK) secepat yang mungkin jikalau terdapat sebarang masalah dalam menjalankan aktiviti Pungutan Tandatangan agar kejadian-kejadian seperti ini dapat direkodkan untuk rujukan. 

Harap Maklum.

Saya Doris Jones ingin membuat satu kenyataan rasmi mengenai satu kenyataan yang dikeluarkan daripada satu pihak yang jelas bertujuan untuk memperlekehkan usaha dan perjuangan SSKM yang bergerak dibawah nama Sabah Sarawak Union (SSU)-UK. Pihak yang saya maksudkan ialah daripada pihak Sarawak People's Aspiration (SAPA) yang dipimpin oleh Lina Soo.

Kenyataan saya ini bukan bertujuan untuk mencalarkan imej perjuangan SAPA namun adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan perjuangan ini daripada terus dihina dan difitnah oleh mereka dalam kumpulan NGO SAPA.

Saya akan menjawab persoalan demi persoalan yang telah dikemukan kepadanya daripada seseorang dengan jawapan daripada pihak SSKM sendiri dan BUKAN daripada pihak SAPA.

Soalannya adalah adakah Tandatangan di Go-Petition itu tidak sah dan batal?

Untuk soalan ini, saya telah maklumkan kepada umum dahulu bahawa ia sebenarnya adalah sah dan diterima sebagai satu Petisyen rasmi. Go-Petition telah berjaya dalam membantu banyak NGO diperingkat antarabangsa dalam membawakan permasalahan dan perjuangan mereka kepada perhatian kerajaan dan dunia. Ia juga telah berjaya dibawakan ke dalam sidang Parlimen antarabangsa dan tindakan serta maklumbalas terhadap petisyen daripada Go-Petition adalah sama keberkesanannya terhadap petisyen yang dibuat secara manual. Perkara ini juga telah disahkan sendiri oleh Pihak Pentadbiran Go-Petition. Kenyataan yang mengatakan bahawa Go-Petition Online itu tidak sah dan tidak akan diterima adalah tidak benar sama sekali.

Untuk pengetahuan umum, pihak SSKM adalah terlebih dahulu memulakan pungutan Petition pada 2012 secara online dengan target menimum sebanyak 300,000. Ini merupakan standard antarabangsa.

Saya berasa hairan dengan kenyataan daripada Presiden SAPA iaitu Lina Soo yang seolah-olah menampakkan dirinya itu hebat sangat sehingga berani memberi jaminan sedemikian rupa dengan menafikan bahawa Petition yang dilakukan oleh pihak SSKM ini adalah "Null" dan "Void".

Antara poin yang digunakan untuk menafikan usaha pihak SSKM ialah "Sesiapa juga boleh menandatangani Petisyen Online ini.  Biarpun Elvis Presley, Michael Jackson, Cleopatra dan sebagainya". Terdapat juga kenyataan daripada seseorang yang mengatakan "memang benar, sebab saya juga telah melakukannya berulang kali".

Tidakkah mereka, iaitu pihak SAPA pernah terfikir akan kesan daripada kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini kepada usaha untuk membawa suara Borneo ini diperingkat antarabangsa? Jikalau mereka mengatakan sedemikian rupa, saya juga boleh katakan sama seperti mereka bahawa "Elves Presley, Nelson Mandela, Micheal Jackson (termasuk mereka yang sudah meninggal) dan sebagainya juga boleh menandatangani petisyen SAPA." Bagaimana? Sedap untuk anda dengar? 

Pihak SSKM tidaklah sebegitu bodoh seperti yang pihak SAPA fikirkan. Pihak kami mempunyai Kumpulan yang bertanggungjawab untuk membuat penapisan terhadap petisyen tersebut. Maklumat yang dilihat seperti SPAM ataupun palsu akan dipadamkan daripada sistem. Pihak kami tidak akan membenarkan perkara seperti ini berlaku sama sekali. Pihak kami akan membuat semakan demi semakan setiap minggu dan bulan. Tidak dapat dinafikan bahawa memang ada golongan individu mahupun kumpulan yang tidak bertanggungjawab yang mensemakkan petisyen online SSKM. 

Setakat ini, pihak SSKM tidak pernah melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab terhadap petisyen SAPA. ini kerana pihak SSKM menghormati perjuangan SAPA yang BERBEZA daripada SSKM.

Pihak kami akan mencetak semua maklumat dalam Petisyen Online SSKM untuk dibawakan sebagai bukti bahawa ia adalah suara rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Saya juga ingin membuat kenyataan rasmi bahawa pihak SSKM TIDAK MEMPUNYAI HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN SAPA DALAM APA CARA SEKALIPUN. Ini kerana teras perjuangan mereka tidak selari dengan teras dan prinsip SSKM yang memfokuskan kepada Perjuangan yang Demokrasi, Matang dan Professional tanpa menabur fitnah terhadap mana-mana pihak. Pihak SSKM hanya akan membuat satu-satu kenyataan rasmi jikalau mana-mana pihak cuba menfitnah perjuangan SSKM ini yang bergerak dibawah naungan Sabah Sarawak Union (SSU)-UK yang telah berdaftar secara sah dibawah Perundangan Bidang Kuasa United Kingdom (UK).

Untuk di Borneo khususnya di Negara Sabah, pihak SSKM mempunyai persefahaman dengan NGO Momogun Seek For Self-Determination (Mosik), Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR), United Borneo Front (UBF), Sabah Freedom Movement (SFM) dan Borneo Youth Revival (BYR).

Diperingkat antarabangsa pula, pihak SSKM yang bergerak dibawah nama Sabah Sarawak Union (SSU)-UK mempunyai hubungan kerjasama lebih daripada 60 NGO antarabangsa tetapi saya ingin nyatakan 12 daripada NGO yang saya aktif dalam pergerakan mereka. NGO tersebut adalah Transnational Government of Tamil Ealam (TGTE), Kurdhistan Government in EXILE, Kesri Lehar-Sikh Genocides, Balochistan Human Rights Movement, Sindhi Movement, Freedom for West Papua, Freedom for Catalonia, Yes England, Referendum for Scotland, Free Tibet, Freedom for Welsh, Sourthern Cameron Freedom Movement, South Azerbaijen Campaign for Freedom.

Ramai yang bertanyakan kepada saya, adakah kami perlu membawa kedua-dua petisyen ini iaitu Petisyen SSKM dan SAPA apabila bergerak untuk memungut tandatangan? Saya memberikan mereka penjelasan seperti berikut. 

Adalah sukar untuk berbuat demikian. Anda perlu memutuskannya sama ada mahu membawa petisyen SSKM ataupun SAPA sahaja. Ini kerana anda akan mengalami kesukaran untuk memberi penerangan kepada rakyat nanti. Ini kerana, bagaimana anda ingin menerangkan mereka untuk satu petisyen dengan penerangan yang panjang lebar dan apabia beralih kepada satu petisyen lagi, anda perlu melakukan perkara yang sedemikian juga? Apabila masalah ini timbul, ia bakal mengelirukan orang awam seolah-olah ada dua kumpulan yang sedang bersaing untuk membawa Perjuangan ini diperingkat antarabangsa. Namun, jikalau para sukarelawan sanggup untuk membawa kedua-dua petisyen ini sekali, tiada halangan untuk berbuat demikian. Dengan syarat, jangan memburuk-burukkan mana-mana pihak.

Perkara yang berlaku di Borneo, Negara Sabah dan Negara Sarawak sememangnya telah mendapat perhatian antarabangsa dan setiap pergerakan dan permasalahan yang timbul dimaklumkan kepada United Nation (UN)-UK agar mereka memahami keadaan yang sedang berlaku. Ini kerana, saya sendiri merupakan ahli United Nations (UN)-UK yang sah.

Disini, saya ingin mengambil satu langkah yang membina iaitu saya bagi wakil SSKM yang bergerak dibawah NGO berdaftar dibawah Perundangan United Kingdom (UK) yang bernama Sabah Sarawak Union (SSU)-UK berharap agar pihak SAPA menghentikan usaha mereka yang merendahkan usaha pihak SSKM kerana pihak SSKM tidak pernah untuk merendahkan usaha SAPA malah menghormati serta membantu secara tidak langsung.

Jentera yang digunakan adalah berbeza namun misi adalah tidak jauh bezanya. Jangan ganggu usaha pihak SSKM dan pihak SSKM juga tidak mengganggu SAPA.

Saya berharap kenyataan rasmi ini mampu untuk mencerahkan keadaan yang selama ini timbul. Setiap perbezaan mempunyai keunikannya tersendiri dan biarlah ia menjadi kelebihan masing-masing tanpa ada prasangka yang negatif. Siapa yang dulu berjaya, ingin pihak SSKM ucapkan tahniah terlebih dahulu.

Bukan nama yang menjadi rebutan tetapi nasib Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak itu yang menjadi misi utama untuk diperjuangkan.



Harap maklum.

Kenyataan terhadap aduan oleh Presiden UPKO

Merujuk kepada keyataan Wilfred Madius Tangau (Presiden Sementara Parti UPKO) yang bertajuk ‘’ Don’t influenced by SSKM, UPKO Members told ‘’ bahawa saya disini ingin nyatakan kedudukan SSKM dan diri saya merujuk kepada perundangan United Kingdom.

SSKM –Sabah Sarawak Keluar Malaysia dalam halaman Facebook adalah satu kumpulan yang bergerak dibawah bumbung Sabah Sarawak Union (United Kingdom) yang sudah berdaftar dibawah Akta Kebebasan Bersuara para aktivis , United Kingdom. Saya mengaku bahawa saya, Doris Jones seorang anak warga Sabah Native adalah pengasas halaman SSKM dan juga memegang jawatan pengerusi Sabah Sarawak Union (UK). 

Merujuk kepada kenyataan beliau bahawa "sekiranya saya benar-benar mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia, saya dikehendaki atau diminta balik ke Sabah". Tetapi apa yang saya faham dan juga dinasihatkan oleh peguam saya, saya tidak melakukan sebarang jenayah yang boleh disabitkan ke mana-mana akta berkanun dan juga saya tidak pernah meminta pihak kerajaan Malaysia untuk membantu perjuangan kami. Jadi, mengapa saya harus menyerah diri yang seolah-olah akan menampakkan diri saya ini bersalah sedangkan pada hakikatnya itu tidak benar sama sekali? Apakah ‘’penyerahan diri’’ yang dimaksudkan adalah untuk mengugut warga Sabahan untuk terus menjadi bisu seperti apa yang sedang dan telah dilakukan oleh kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia dengan kepimpinan bn-umno?

Menurut kenyataan beliau lagi, Gerakan Belia UPKO telah membuat laporan Polis terhadap akaun Facebook SSKM. Secara jujur saya katakan, saya sendiri tidak dapat melihat mengapa UPKO yang dibanggakan oleh suku kaum asli Sabah suatu ketika dahulu lantang memperjuangkan nasib bangsa Negara Sabah dibawah kepimpinan Tun Fuad Donald Stephens kini sanggup pula mengkhianati warga Negara sendiri dengan membiarkan diri menjadi tunggangan kuda kepada suara kerajaan malaya untuk mendiamkan Suara Perjuangan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak? Satu soalan untuk barisan kepimpinan UPKO. Mengapa warga asli Sabahan tidak dibenarkan untuk mengetahui kebenaran dan sejarah sebenar? Dimanakah pendirian UPKO berhubung dengan perkara ini? Bukti sudah ada tetapi masih mahu mempertahankan penipuan dengan fakta sejarah hasil nukilan sejarawan malaya? Kerana itulah juga tujuan SSKM dimulakan untuk menenggelamkan fakta-fakta palsu yang dihasilkan oleh ahli-ahli sejarawan malaya agar sejarah Negara Sabah dan Negara Sarawak yang sebenar diangkat dan dipelajari dengan betul.

Wilfred Madius Tangau juga menyatakan bahawa kenyataan yang diberikan oleh Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri adalah tidak memuaskan dan sejurus dengan itu beliau berserta beberapa ahlinya membawa perkara tuduhan terhadap SSKM kepada pihak pusat Polis DiRaja Malaysia ke Bukit Aman. Saya sambut cabaran ini; jika beliau mahukan saya untuk bekerjasama maka beliaulah yang patut berjumpa dengan saya sekali dengan waran. Dimanakah undang-undang yang boleh digunakan untuk ingin mendakwa saya tanpa waran? Malaysia?

Wilfred Tangau juga menyoalkan Perkara 7 dalam 20 Perkara. Itu bukanlah satu soalan yang perlu saya jawab kerana soalan saya dan kami rakyat Sabah yang sudah dikhianati sudah seringkali menyoal dimanakah kesahihan Perjanjian dan Perlembagaan Malaysia? Soalan saya juga adakah dalam pelembagaan Malaysia menyeru rakyat Sabah supaya mengkhianati sesama rakyat Sabahan sendiri? Mengapa hanya Perkara 7 sahaja dipersoalkan dan tidak yang lainnya? Jikalau lebih daripada separuh Perkara dilanggari dan tidak dihormati, mengapa pula anda memaksa rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak untuk tunduk kepada Perkara 7? Dimanakah logiknya?

Dalam kenyataan akhbar Wilfred juga ada menyatakan : "The Federal Government has no rights to get the five percent". Saya bersama rakyat negara Sabah yang lain ingin tahu bahawa siapakah yang sebenarnya mendapat 5 peratus daripada hasil Petroleum? Bukankah selama ini Sabah menerima 5 peratus? Saya meminta penerangan lanjut dari Wilfred Tangau berkenaan dengan keterangan beliau, sekiranya pihak Persekutuan mendapat 5 peratus maka bermakna selainnya diberikan kepada Kerajaan Negara Sabah? Jika benar, mana perginya keuntungan jumlah yang diterima oleh pihak Kerajaan Negara Sabah ?

Saya tidak mahu menyentuh perkara RCI tetapi saya bagi pihak rakyat jati Negara Sabah ingin melihat hasil kerja UPKO berkenaan persoalaan ini.

Sekali lagi, saya ingin tekankan bahawa SSKM akan bergerak terus tanpa henti selagi saya tidak didapati bersalah dimahkamah dimana saya berada sekarang mahupun di mahkmah Malaysia.

Saya juga bersedia untuk meghadap mana-mana Kedutaan Malaysia di Eropah untuk hal ini tetapi dengan syarat waran hendaklah ditunjukkan kepada peguam saya. 

Secara jujur ingin saya katakan, sepatutnya UPKO berjuang untuk membela nasib Sabahan dan bukan mengkhianati Sabahan.

Saya Doris Jones ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan Tuduhan Liar daripada seorang pemimpin dalam Komponen Barisan Nasional (BN) iaitu daripada Parti United Pasok Kadazan Organisation (UPKO). Pemimpin yang dimaksudkan ialah YB.Datuk Madius Tangau yang merupakan Presiden Sementara UPKO.

Pada mulanya, saya mengambil pendirian untuk berdiam dan tidak mengendahkan perkara ini, namun apabila pihak daripada UPKO yang dipimpin oleh Madius Tangau telah menyebarkan fitnah dengan bersungguh-sungguh, ini sekaligus mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, kenyataan yang dibuat olehnya itu adalah tidak benar sama sekali.

Madius Tangau telah membuat tuduhan liar dengan niat jahat terhadap saya kononnya saya adalah orang disebalik Page Facebook yang bernama "Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak".

Untuk pengetahuan umum, pihak kami SSKM juga menentang usaha page tersebut yang cuba menyimbah minyak petrol ke dalam api apatah lagi dalam keadaan sekarang yang sangat tegang. Tiada sebab yang logik untuk pihak SSKM dibawah kepimpinan saya untuk melakukan niat jahat seperti mana yang dilakukan oleh page tersebut. 

Pihak SSKM menentang sepenuhnya diskriminasi perkauman dan sentimen keagaaman yang radikal, yang bertujuan untuk mewujudkan persengketaan rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Ini kerana, di Negara Sabah dan Negara Sarawak, perkara seperti penghinaan agama itu bukan budaya Bangsa Borneo. Namun, tidak dapat disangkalkan juga terdapat bibit-bibit yang mula timbul di Negara Sabah, khususnya hasil daripada pengaruh budaya malaya yang bermotifkan politik semata-mata. 

Page Facebook Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SSKM diwujudkan kerana ia adalah untuk menyelamatkan "Nama Kumpulan" daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini secara tidak langsung berjaya mengekang usaha untuk menjatuhkan imej perjuangan SSKM.

3 tahun dahulu, SSKM bergerak dan aktif dalam "Closed Group" Facebook. Ini kerana pihak SSKM hanya memfokuskan kepada penyebaran kebenaran fakta sejarah dikalangan ahli-ahli yang ada dalam kumpulan sahaja. Namun, usaha untuk menyebarkannya kepada umum perlu dilakukan agar peratusan salah faham terhadap perjuangan SSKM dapat diturunkan ke tahap yang minima. Atas sebab itulah Page Facebook SSKM diwujudkan.

Maka, kenyataan yang kononya mengatakan bahawa saya dalang disebalik Page JAHAT itu daripada mulut seorang pemimpin UPKO adalah tidak benar sama sekali. Kini, rakyat Negara Sabah mampu menilai kredibiliti dan kualiti kepimpinan yang wujud pada seorang pemimpin yang tidak berfikir sebelum bercakap. Tidak hairanlah mengapa perjuangan UPKO semakin hari semakin menuju ke lembah curam kerana memiliki seorang pemimpin berkepimpinan yang tidak memiliki jati diri sebagai Bangsa Negara Sabah.



Satu lagi perkara, saya adalah anak kelahiran Bangsa Negara Sabah dan sudah tentu saya tidak berasal daripada Kapit, Negara Sarawak.

Oleh : MUTALIB M.D 

PRESIDEN USNO (Penaja) Datu Badaruddin Tun Mustapha adalah antara 61 tokoh yang dipecat daripada UMNO kerana menjadi calon bebas menentang Calon BN di Semporna.

Persoalannya, bagaimana Badaruddin masih lagi menjadi ahli UMNO sedangkan beliau bersama Al-Marhum bapanya telah lama meninggalkan UMNO, terutama setelah memimpin USNO sejak beberapa tahun lalu.

"Apa agenda Lembaga Disiplin UMNO memecat saya sedangkan saya telah lama meninggalkan UMNO dan telah memimpin USNO sejak 2008?," soal Badaruddin kembali apabila ditanya pandangannya berhubung laporan UMNO Online dan berita arus perdana mengenai pemecatannya.

Kata Badaruddin, walaupun mereka 'diperdaya' oleh Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) yang berjanji kononnya akan meluluskan pendaftaran USNO; namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO tahu bahawa beliau telah lama meninggalkan UMNO.

"Ini mungkin lawak jenaka UMNO terutama Naib Presiden UMNO yang akan ditentangnya dalam PRU-13 ini. Tapi syukur jugalah kerana kasi popular saya sehingga semua orang di seluruh Malaysia mengenali saya dan mengingati perjuangan Al-Marhum bapa saya," ujar Badaruddin merendah diri.

Katanya, beliau tidak terlalu memikirkan sangat sama ada dipecat atau dilucutkan daripada UMNO kerana beliau tidak menjadi ahli UMNO dan yakin isu pemecatan beliau ada kena mengena dengan usaha pihak tertentu yang cuba menghalang beliau menyertai UMNO jika memenangi Kerusi Parlimen Semporna dan DUN Senallang pada PRU-13.

"Kita sudah lama bekerja untuk memastikan kepentingan rakyat Sabah terbela dan walaupun kita bertanding atas tiket Bebas atas sebab sekatan birokrasi, tetapi kita yakin rakyat sudah lama bersama kita dan akan memenangi beberapa kerusi yang kita tandingi," kata Badaruddin dengan penuh yakin.

Dalam pada itu, seorang lagi 'Ahli UMNO' yang dipecat ialah Calon USNO (Bebas) bagi kerusi DUN Sulabayan, Mamat Barhana ketika dihubungi hanya ketawa berdekah-dekah dan menyifatkan pemecatannya sebuah sandiwara; umpama 'Ayam Terlepas, Tangan Bau Tahi.'

"Saya telah keluar dari UMNO kerana perlu meneruskan perjuangan kita yang belum selesai iaitu menghidupkan kembali USNO, Parti Kemerdekaan Sabah. Saya sudah lupa bila saya meninggalkan UMNO kerana sudah terlalu lama. Tetapi kenapa sekarang baru dipecat?" kata Mamat yang turun bertanding kerusi DUN Sulabayan bagi memperjuangkan hak anak jati Sabah yang dipinggirkan pemimpin UMNO Semporna.

Bagi Mamat, pemecatannya memberi kelebihan berkempen disebabkan rakyat Semporna menganggap beliau sebagai pemimpin yang berani menentang arus sekalipun beliau tidak cukup wang, namun mampu menawarkan perkhidmatan terbaik buat rakyat Sulabayan.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin (LD) UMNO memecat seramai 61 orang ahli UMNO yang telah bertanding sebagai calon bebas di kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.

Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen berkata tindakan ini dibuat selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO yang menyatakan mana-mana ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas akan di pecat daripada parti dan tidak akan diterima keahliannya selama-lamanya.

“Surat-surat pemecatan keahlian yang telah ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin telah dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan secara rasmi kepada mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media selepas penamaan calon 20 April lalu.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas LD UMNO juga akan memanggil 3 orang lagi ahli UMNO dalam minggu ini untuk tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka kerana menjadi pencadang, penyokong atau gagal menyerahkan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon yang baru lepas.

“Mereka ini dipanggil di bawah falsal 20.8 Perlembagaan UMNO dibaca bersama perkara 3 Tataetika Ahli UMNO berikutan gagal mengikut perintah-perintah Parti atau gagal menjalankan dasar-dasar parti.

“LD UMNO sekali lagi ingin mengingatkan ahli UMNO bahawa kita telah bersiap sedia untuk bertindak ke atas mana-mana ahli UMNO yang melakukan kesalahan sabotaj parti di dalam waktu tempoh berkempen Pilihanraya Umum ke -13 ini.”

Ujarnya lagi, tindakan tegas termasuk pecat dan gantung keahlian akan diambil setelah bukti-bukti dan laporan daripada pemantau yang dilantik diterima dan disiasat secara terperinci.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli UMNO di seluruh negara supaya bersatu padu dan menyokong semua calon Barisan Nasional yang telah dinamakan untuk bertanding oleh pucuk pimpinan parti. Jauhi perbuatan sabotaj atau perbuatan yang boleh melemahkan parti dan Barisan Nasional.

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.