Saya pasti semua rakyat Sarawak termasuk wakil-wakil rakyat di Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri Sarawak gembira dan teruja dengan perjuangan Tok Nan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis akibat kehendak-kehendak Malaysia Agreement 1963 dan pandangan-pandangan Inter Government Committee tidak dipenuhi sepenuhnya sejak merdeka.
Kandungan-kandungan dokumen penting penubuhan Malaysia ini wajar diteliti selalu.
Bahkan dinyatakan ia perlu disemak setiap 10 tahun. Nampaknya ia hanya pernah disemak sekali sahaja sekitar tahun 1974. Selepas itu diam membisu hilang dari radar rakyat sedangkan Malaysia sudah terbentuk lebih 50 tahun.
Oleh itu, bagi menjadikan perjuangan Tok Nan ini tercapai, sokongan dan usaha terbuka perlu dilakukan tanpa menafikan wujud usaha serius di peringkat pimpinan utama negara. Hal ini perlu dilakukan agar proses ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan salah sangka.
Namun begitu, beberapa persoalan utama timbul bagi memenuhi keperluan membetulkan kembali kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang perlu diambil kira;
1. Sekiranya pindaan perlembagaan 1976 yang menurunkan taraf Sarawak itu telah berlaku 40 tahun lalu adalah sah di Parlimen, apakah pindaan itu pernah dibawa untuk pengesahan Dewan Undangan negeri Sarawak?
2. Jika ya dan diterima maka pindaan itu sah. Jika tidak maka jelas pindaan itu bertentangan dengan MA1963 yang merupakan International Treaty yang mempunyai peraturan tersendiri.
3. Jika ia pernah diterima oleh DUN Sarawak, maka DUN yang sama perlu bertindak menolaknya kembali dengan usul yang baharu dikemukakan.
4. Jika pindaan itu tidak pernah dibawa ke DUN Sarawak maka anggota Parlimen perlu mencadangkan pindaan pembatalan terhadap Artikel Perlembagaan yang jelas bertentangan dengan MA1963 yang tidak boleh diubah suai tanpa persetujuan pihak pihak yang terlibat dengan perjanjian itu.
Inilah yang dibangkitkan oleh Tok Nan yang perlu disokong dan diperjuangkan.
Sekarang terserah kepada kebijaksanaan Ahli Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menilai perkara ini dan “tindakan” selanjutnya.
Kalaulah pihak di Malaya sedang sibuk dengan pindaan RUU355 yang hangat diperkatakan sejak sidang Parlimen yang lalu, maka sewajarnya pihak di Sarawak – sebagai memenuhi kehendak rakyat dan perjuangan Tok Nan – hendaklah ada inisiatif untuk membetulkan keadaan hakisan kuasa negara Sarawak yang telah berlaku sejak 1976.
Sejarah akan mencatatkan langkah ini dan zuriat keturunan kita yang akan mendapat kesannya. Yang dinilai adalah tindakan kita.
* YB Datuk Dr Juanda Jaya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jemoreng
Source: Sarawak Voice
Post a Comment