Semasa saya kecil, setiap kali Aidilfitri, keluarga saya akan menyambut hari raya di Kluang, Johor.

Semasa itu, rumah nenek masih rumah kayu, suasana kampung masih wujud lagi, dan masih kelihatan ayam itik dan lembu di sekeliling rumah.

Tapi itu kira-kira 20 tahun yang lalu. Sekitar tahun 1997, kawasan kampung ini disodok dan dijadikan kawasan perumahan untuk golongan menengah rendah di Kluang.

Sementara itu, orang-orang Kampung Bentong Luar (nama kampung saya) dipindahkan ke satu kawasan perumahan teres di Taman Sri Kluang.

Sejak itu, keluarga saya jarang pulang ke Kluang. Mereka lebih selesa berhari raya di rumah sendiri.

Tetapi tahun ini, saya mengambil keputusan untuk berhari raya di Kluang, walaupun keluarga saya tidak ikut sekali.

Ini kerana saya mahu menziarah kubur arwah nenek saya yang meninggal dua tahun yang lepas.

Biasanya jika saya balik berhari raya di Johor, saya mengelak daripada bercakap tentang politik, kerana saya tahu pegangan politik saya sangat berbeza dengan orang kampung.

Kampung saya ini kubu kuat Umno sejak, hmmm..., entah sejak bila tapi setahu saya ia memang selamanya kubu Umno.

Tetapi kali ini orang kampung saya melihat pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang lembik dan teruk, selain faktor GST yang membuatkan mereka marah, banyak isu-isu panas yang gagal diuruskan oleh pentadbiran Najib.

Tapi dalam masa sama mereka kurang percaya yang Pakatan Rakyat boleh jadi kerajaan persekutuan yang baik.

Sebaliknya, mereka melihat satu alternatif yang lain – Johor keluar dari Malaysia dan membentuk sebuah negara sendiri, seperti Brunei Darussalam, mungkin.

Pada kali pertama saya mendengar perkara ini, saya tergelak perkara ini kerana benda ini agak mengarut.

Tetapi sentimen ini diterjemahkan oleh mereka tanpa disedari. Mereka menyampaikan ketidakpuasan hati mereka kepada Putrajaya melalui cara mereka berfikir, berpakaian atau bercakap.

Mungkin mereka tidak sedar – tetapi mengikut pemerhatian saya, saya merasakan mereka lebih rela memakai jersi JDT daripada jersi pasukan Malaysia. Tapi itu perkara yang kecil.

Tapi perkataan-perkataan yang dahulunya saya jarang dengar seperti "Bangsa Johor", sudah mula kedengaran di mana-mana.

Sticker-sticker berlandaskan semangat kenegerian berada di mana-mana kereta dan motosikal. Jenama baju Joho, baju tertulis perkataan "Johor" dalam tulisan jawi, atau sticker seperti "Lanun Johor" kelihatan di mana-mana, tidak mengira kaum.

Johor yang saya kenal semasa saya kecil dahulu, bukan Johor yang macam sekarang.

Mungkin selama ini negeri yang agak kuat semangat kenegeriannya seperti Kelantan atau Sabah sudah biasa saya lihat, tapi semangat kenegerian Johor ini seolah-olah ia secara "subliminal message" ini adalah "nasionalisme Bangsa Johor" dan ia lebih kuat dari apa yang saya fikirkan sebelum ini.

Yang paling saya tak tahu selama ini negeri Johor ada bendera-bendera daerah mereka sendiri.

Saya tak pernah bayangkan Hulu Langat atau Petaling ada bendera sendiri di Selangor.

Itu mungkin perkara kecil. Tapi, dari perkara kecil lah, benda besar boleh berlaku.

Peristiwa rusuhan di Plaza Low Yat misalnya, bermula dari perkara kecil – curi telefon bimbit (atau peniaga menipu barang kepada pengguna, tak tahu yang mana satu betul) – tapi lama-lama ia menjadi besar, dan jika tidak dikawal ia jadi satu rusuhan kaum yang besar seperti 13 Mei 1969.

Jadi "perkara-perkara kecil" inilah yang saya perhatikan di Johor. Jika pentadbiran di Putrajaya masih lagi kalut, dan pembangkang masih berkelahi sesama sendiri, lama-lama saya rasa gerakan untuk keluar dari Malaysia akan semakin kuat.

Bahkan saya percaya rata-rata rakyat Johor lebih percaya dan lebih menyokong Sultan dan Tengku Mahkota Johor dari perdana menteri Malaysia.

Kalau berterusan begini, mungkin satu hari nanti bila saya nak pulang berhari raya ke rumah saudara mara saya di Kluang ini, saya terpaksa membawa passport.

Apapun, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca ruang pojok ini, dan semua pembaca The Malaysian Insider. Saya memohon ampun dan maaf sekira sepanjang tahun yang lalu saya ada terkasar bahasa dan menimbulkan kemarahan. – 18 Julai, 2015.

Labels:

Post a Comment

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.