Salam sejahtera, salam hormat, salam Hari Kaamatan dan Salam Hari Gawai buat semua bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili kumpulan sosial di alam maya iaitu Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini sudah bergerak didalam dunia yang nyata dengan nama kumpulan Sabah Sarawak Union (SSU-UK), yang telah didaftarkan secara SAH dibawah bidang kuasa perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan teguran mengenai isu sogit, adat budaya KadazanDusunMurutRungus (KDMR) dan juga personaliti ringkas tentang diri saya.
Sebelum saya memberikan penjelasan yang sebenar, izinkan saya terlebih dahulu untuk menyampaikan salam Takziah kepada keluarga mangsa korban gempa bumi dari Negara Singapura, Negara Filipina, Negara Jepun, Negara China dan khasnya negara saya sendiri, Negara Sabah. Kesedihan itu sangat dirasai walaupun berada jauh dari tanah air. Disini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memberikan Pengiktirafan dan Penghormatan atas Keberanian dan pengorbanan yang ditunjukan oleh Mountain Guides Gunung Kinabalu ataupun Malim Gunung Kinabalu dalam menyelamatkan pendaki-pendaki gunung yang terkandas dipuncak gunung kinabalu telah memberikan mereka satu status tertinggi sebagai Wira-wira Negara Sabah. Tahniah diucapkan!
Kepada rakyat Negara Sabah khususnya KDMR;
Saya sedar bahawa kenyataan saya didalam Facebook berhubung dengan isu Sogit ini telah mendatangkan kemarahan sehinggakan saya telah menerima kritikan yang hebat. Ini dimalangkan lagi apabila saya berusaha untuk menjelaskannya dengan mengaitkan adat budaya KDMR dalam isu ini.
Disini saya sertakan komen-komen saya sebagai rujukan semua pihak.
Pertama:
"MAU SOGIT, SOGIT YANG MASUK SABAH CARA HARAM..BUKAN SOGIT PELANCUNG DI GUNUNG KINABALU. DULU ASAL DUSUN PUN BERCAWAT JUGA DAN ADA YANG PEREMPUAN TIDAK BERPAKAIAN JUGA...MAKA BELAJAR DULU SIAPA ITU SABAHAN."
Penjelasan: Saya ingin membawa anda untuk bersama-sama berfikir untuk perkara ini. Adakah Sogit yang dikenakan kepada seseorang individu ataupun kumpulan itu bersifat "Selective/memilih"? Mari kita ambil beberapa situasi yang telah berlaku dahulu seperti ketika penghinaan dilakukan terhadap adat dan budaya KDMR seperti penobatan "Huguan Siou" kepada "Anwar Ibrahim" yang merupakan "orang luar", dimanakah tindakan sogit dikenakan keatasnya atau pihak yang menobatkannya? Ketika penghinaan pemimpin-pemimpin umno yang mengatakan bahawa KDMR itu adalah melayu, dimanakah sogit dikenakan keatas mereka? Ketika pencerobohan orang luar khususnya syarikat-syarikat malaya dengan bantuan kerajaan dibawah pimpinan bn-umno keatas tanah-tanah adat KDMR, dimanakah sogit yang dikenakan keatas mereka?
Mereka diatas yang telah dinyatakan adalah golongan yang tahu akan adat budaya KDMR dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku tetapi malangnya telah berlaku dan tiada "Sogit" pun dikenakan kepada mereka. Walau bagaimanapun, orang luar seperti warga negara Canada yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang adat budaya KDMR kerana tiada pendedahan kepada mereka pula dikenakan Sogit keatas mereka.
Saya tidak berniat untuk mempertahankan tindakan mereka disebabkan apabila melihat daripada aspek adat budaya KDMR, mereka sememangnya jelas tidak menghormati adat budaya KDMR malah mencemarkannya dengan perbuatan yang tidak senonoh itu TETAPI bagaimana mereka hendak menghormatinya jikalau sebelum ini tiada pendedahan langsung diberikan kepada mereka? Bukankah ini sesuatu yang tidak adil bagi pihak mereka? Adakah terdapat polisi daripada Taman Negara Sabah yang menyatakan bahawa pendaki "Tidak boleh berbogel" dipuncak? Setahu saya polisi jelas melarang pendaki untuk mengambil barang-barang aneh mahupun tumbuhan sepanjang berada dalam ekspedisi pendakian sahaja. Tambahan lagi, adakah Taman Negara Sabah ada menerangkan "Adat Budaya KDMR" yang mesti dihormati oleh warga luar negara ketika hendak membuat pendakian Gunung Kinabalu?
Jikalau ini semua tidak ada, bagaimana sesuatu hukuman itu dapat dijatuhkan keatas mereka secara adil? Sememangnya mereka sudah pasti didapati bersalah kerana telah melanggarnya tanpa disedari kerana tiada pendedahan itu sendiri daripada persatuan KDCA mahupun kerajaan Negara Sabah melalui Taman Negara Sabah.
Kedua:
"INI SKARANG BUKAN MASALAH PELANCUNG... INI KEBODOHAN TOUR GUIDE SEBAB TIDAK TAHU KAWAL PELANCUNG. BODOH MACAM UMNO. PATUTLAH KAMU INI SENANG DISUSUN."
Penjelasan: Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kerana kenyataan ini sememangnya kasar untuk didengari namun sila berikan peluang untuk diri anda untuk memahaminya. Perkara ini sememangnya tidak akan berlaku jikalau Mountain Guide bertindak tegas keatas mereka. Mountain Guide mempunyai kuasa penuh untuk mengarah mereka untuk turun segera ataupun memberikan mereka amaran tegas dengan menyatakan seperti "Jikalau anda masih ingin meneruskan niat berbogel, sijil penuh pendakian ataupun separuh tidak akan diberikan kepada anda kerana melanggar/tidak mematuhi nasihat saya sebagai Mountain Guide anda". Apakah anda yakin pendaki-pendaki warga asing dari Canada itu berani untuk mengingkarinya? Jikalau mereka meneruskan juga, pihak Taman Negara Sabah masih tidak mempunyai kapasiti untuk mengenakan tindakan undang-undang keatas mereka kerana polisi untuk melarang perbuatan tersebut tidak wujud. Tindakan undang-undang hanya boleh diambil keatas mereka jikalau polisi itu wujud dan perlanggaran polisi itu berlaku.
Benar, info mengatakan bahawa Mountain Guide sudah berusaha untuk melarang mereka berbuat demikian namun telah diketawakan dan dimaki dengan perkataan "Go to hell". Lantas itu, mountain guide terus membiarkan mereka dan hanya gambar sahaja yang dapat diambil dan telah disebarkan ke dalam Facebook. Inilah yang menjadi kemarahan awam khususnya KDMR.
Saya akui bahawa perkataan "Bodoh" itu terlalu kasar untuk didengari dan saya memohon maaf untuk itu namun ia adalah satu kenyataan marah yang ikhlas kerana ketidaktegasan itu telah menyebabkan perkara ini menjadi serius. Daripada hal ini, ia boleh digambarkan secara keseluruhan tentang bagaimana begitu mudah rakyat negara Sabah diperbodohkan seperti mana umno-bn memperbodohkan rakyat negara Sabah sehinggakan sampai satu peringkat yang mana rakyat Negara Sabah begitu senang disusun. Ini adalah realiti.
Dalam penjelasan ini, saya memberikan pandangan dalam dua sudut iaitu sudut perundangan dan juga sudut adat budaya. Dalam sudut perundangan, warga asing ini tidak melanggar undang-undang negara tetapi jikalau melihat sudut adat budaya, jelas ia telah melanggarinya tanpa disedarinya.
Saya mempertahankan adat budaya KDMR dan sememangnya itulah tanggungjawab bagi Orang Asal yang berasal daripada rumpun KDMR tetapi untuk perkara ini, saya mohon pertimbangan daripada anda semua untuk memahaminya. Bukan menghina atau menafikannya tetapi untuk kita bersama-sama fikirkan secara rasional dan matang.
Kejadian gempa bumi ini juga seharusnya dilihat melalui 3 sudut iaitu dalam sudut Saintifik dan logikal, budaya dan spiritualiti, dan juga keagamaan. Jikalau kita percaya kepada sudut saintifik dan logikal bahawa ia berlaku disebabkan oleh pergerakkan plat bumi, maka itulah jawapan keatas kejadian ini. Jikalau kita melihat kepada budaya dan spiritualiti, gempa bumi ini berlaku disebabkan oleh perbuatan warga asing ini sehingga mendatangkan kemarahan semangat penjaga gunung, maka itulah jawapannya. Dan jikalau kita mempunyai kepercayaan agama, sudah tentu kita tahu bahawa ia adalah kekuasaan Maha Pencipta dan kejadian ini sudah tentu mempunyai hikmah menurut kepercayaan agama masing-masing.
Untuk itu, saya memohon anda semua untuk sila pertimbangkan segala penjelasan yang telah saya berikan untuk perkara ini. Berikan peluang kepada diri anda semua untuk memahaminya tanpa menyempitkan kotak pemikiran anda dengan hati yang terbuka, matang dan professional.
Personaliti Ringkas Tentang Diri Saya
Ingin saya perjelaskan bahawa saya mempunyai hak penuh untuk memberikan pandangan, kritikan dan provokasi mengikut isu dan keadaan. Anda semua sedar bahawa saya kerap mengetengahkan komen-komen yang pada anggapan saya perlu diberi perhatian. Ini adalah bertujuan untuk saya mempertahankan diri saya daripada cemuhan dan persepsi negatif orang luar. Jangan samakan diri saya dengan pemimpin-pemimpin luar yang memiliki Facebook dan membiarkan orang luar menghentam sesuka hati kerana bagi saya, jikalau ia perlu diberikan respon, saya akan lakukan. Anda sendiri mampu melihat didalam akaun Facebook saya.
Rakyat Negara Sabah dan Rakyat Negara Sarawak perlu membebaskan diri daripada kekangan sensitiviti yang menghadkan perbincangan khususnya seperti keagamaan. Perkara 1 dalam 20 Perkara dan 18 Perkara jelas mengatakan bahawa Negara Sabah dan Negara Sarawak tidak mempunyai agama rasmi dan juga bebas beragama. Perbincangan yang sihat tentang agama seharusnya tidak dipandang serong kerana jikalau itu sudah berlaku, tidakkah anda semua sedari bahawa anda sebenarnya telah dijangkiti virus sensitiviti malaya. Dahulu, perkara ini tidak pernah berlaku di bumi Borneo, mengapa pula hari ini boleh wujud? Salahkah jikalau saya katakan bahawa pengaruh malaya kini sudah jelas perlahan-lahan meresapi kedalam diri anda semua secara tidak langsung yang mana ia jelas dapat dilihat melalui penerimaan ideologi-ideologi politik malaya seperti umno-bn dan pr?
Apa yang selalu disentuh oleh saya adalah hanya berlandaskan kepada 20 Perkara, 18 Perkara dan Perjanjian Malaysia 1963. Jikalau perkara itu dilarang untuk disentuh, maka apakah maknanya memiliki Perkara-Perkara dan Perjanjian ini tetapi tidak boleh disentuh? Bukankah ia sangat pelik dan seharusnya tidak berlaku?
Saya akui bahawa saya kerap menimbulkan provokasi yang khususnya mengenai kesedaran Hak Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak tetapi ia sebenarnya untuk kesedaran. Disamping itu juga, ia adalah bertujuan untuk melihat sejauh manakah kematangan dan penerimaan rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak tentang sesetangah isu yang dibangkitkan oleh saya. apa yang dapat saya perkatakan ialah kebanyakannya sudah mula mampu untuk menerimanya jikalau dibandingkan daripada sejak isu-isu mengenai hak Bangsa ini dibangkitkan beberapa tahun dahulu. Sedarkah bahawa dengan kesedaran yang anda perolehi ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan negara masing-masing iaitu Kerajaan Negara Sabah dan Kerajaan Negara Sarawak telah menampakkan ketakutan dan keakuhan untuk tunduk kepada suara kebangkitan rakyat? Yang jelasnya boleh dilihat di Negara Sarawak. Di negara Sabah, kerajaan perlu dan mesti ditukar agar kesedaran itu akan merebak dengan lebih pantas. Ini kerana kesedaran di Negara Sabah dihalang dan dipesongkan oleh barua-barua tegar malaya daripada umno dan bn yang pro malaya. Tetapi jikalau ia terlalu keterlaluan, saya ingin meminta maaf.
Inilah diri saya. Saya seorang yang berfikiran terbuka dan mampu menerima teguran dan kritikan tetapi jikalau ia sudah melebihi batas, saya juga mempunyai hak untuk menonjolkan perasaan marah. Selain itu, jikalau jawapan dan komen saya kelihatan tidak perofessional dan kebudak-budakan, itu adalah kelemahan dan kekurangan diri saya. Untuk itu, sekali lagi saya ingin memohon maaf.
Saya tidak mengimpikan untuk menjadi Presiden ataupun Menteri kepada sebuah Negara yang bakal muncul tidak lama lagi tetapi cukuplah untuk menjayakan misi tersebut kerana itu bukanlah peranan saya. Peranan saya hanyalah untuk memberikan kesedaran dan membawa suara-suara bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak ke Peringkat Antarabangsa dan memperjuangkan di peringkat itu agar perhatian dan pembelaan daripada pihak antarabangsa dapat diberikan kepada bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak. Selebihnya, untuk pengurusan negara selepas merdeka daripada persekutuan yang gagal ini, saya serahkan kepada generasi-generasi muda yang mempunyai semangat Nasionalisme pada Tanah Air masing-masing iaitu Negara Sabah dan Negara Sarawak.
Dengan itu, saya akhiri kata-kata saya dengan lafaz Pergo Et Perago dan Dum Spero Spiro.
Dengan itu, saya akhiri kata-kata saya dengan lafaz Pergo Et Perago dan Dum Spero Spiro.
Post a Comment